KEBAKARAN hutan yang berlaku di utara Sydney. FOTO AFP
AFP

SYDNEY: Kerajaan Australia hari ini mengisytiharkan darurat selama seminggu di Sydney berikutan bandaraya terbesar negara itu berdepan ancaman baru kebakaran hutan.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian terpaksa mengisytiharkan darurat selama tujuh hari berikutan suhu tinggi dan angin kencang dijangka memburukkan keadaan esok.

Buat pertama kali, Sydney dan kawasan sekitarnya berdepan amaran tertinggi kebakaran, menyebabkan pihak berkuasa memberi amaran nyawa serta rumah berisiko besar.

Kebakaran teruk di utara Sydney sejak minggu lalu menyebabkan tiga orang terbunuh dan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal manakala 150 kediaman musnah.

Keadaan dilaporkan pulih hari ini dan segelintir penduduk kembali ke kediaman mereka, biarpun jerebu di banyak kawasan terjejas.

Namun, angin dan suhu dijangka memuncak esok.

Rantau Blue Mountain di barat Sydney dan Hunter Valley dijangka paling teruk terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 10:52 AM