TAY BOON KEH
Agensi

SINGAPURA: Seorang bekas pekerja lapangan terbang dipenjara 20 hari kerana menukarkan teg bagasi 286 beg penumpang penerbangan Singapore Airlines dan SilkAir kerana tidak berpuas hati dengan tugas diberikan kepadanya.

Akibat perbuatan Tay Boon Keh, 66, itu, beg berkenaan dihantar ke destinasi yang salah seterusnya dua syarikat penerbangan berkenaan terpaksa membayar pampasan bernilai lebih S$42,000 (RM128,000) kepada 221 penumpang yang terjejas, lapor Straits Times.

Kes itu dipercayai yang pertama seumpamanya, dilakukan antara November 2016 hingga Februari 2017.

Ketika itu, Tay, kakitangan syarikat subkontraktor Lapangan Terbang Changi, ditugaskan menyusun beg penumpang pada mesin pengimbas sebelum dimasukkan ke pesawat, namun berang kerana terpaksa menggunakan mesin yang sering rosak.

Disebabkan itu, dia perlu mengangkat beg penumpang ke mesin lain beberapa kali sehari, lapor Channel News Asia.

Ketika perbicaraannya, mahkamah diberitahu tertuduh menghidap kemurungan ketika tempoh itu.

Bagaimanapun, Hakim Jasvender Kaur memutuskan kemurungannya tidak memainkan peranan penting terhadap tindakannya seperti dalam tuduhan, malah kesalahan itu bukan kecil sebaliknya mengakibatkan kerugian wang dan reputasi syarikat terbabit.

“Malah, dia membuat perancangan membalas dendam terhadap majikannya kerana menganggap diberi tugasan yang tidak wajar selain menyalahgunakan jawatannya selama hampir tiga bulan setengah,” katanya.

https://www.straitstimes.com/singapore/courts-crime/20-days-jail-for-ex-...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 9:59 PM