MCCANN
Agensi

LONDON: Seorang lelaki yang disyaki perogol bersiri, bertindak kejam mengikat seorang ibu menggunakan kabel elektrik, sebelum memaksa mangsa mendengar jeritan dua anaknya ketika dia merogol mereka.

Lelaki itu dikenali sebagai Joseph McCann, 34, dipercayai mengganas sebagai perogol selama dua minggu antara 20 April dan 5 Mei lalu, di sekitar London, Manchester, Lancashire dan Cheshire.

Menurut laporan Daily Mail, serangan membabitkan wanita dan dua anaknya itu berlaku pada 5 Mei lalu, selepas dia berkenalan dengan seorang wanita di sebuah bar di Haslingden, Greater Manchester.

Dia mengambil kesempatan ketika menghantar wanita yang mabuk itu pulang sebelum mengikatnya pada katil menggunakan kabel elektrik sebelum mengejutkan anak perempuan mangsa berusia 17 tahun dan anak lelakinya berumur 11 tahun.

McCann kemudian memaksa wanita berkenaan melihat dia merogol mereka dan mendengar jeritan mangsa.

Tiga beranak itu diselamatkan selepas remaja perempuan itu terjun melalui tingkap dalam keadaan bogel dan menghubungi polis dengan bantuan jiran.

Beberapa jam selepas itu, lelaki berkenaan menahan wanita berusia 71 tahun serta budak perempuan berusia 13 tahun di dalam kereta pesara itu dan merogol mereka.

Pada hari kedua perbicaraannya semalam, pendakwa menceritakan adegan penuh dramatik yang membawa kepada penahanan tertuduh pada 6 Mei lalu, ketika dia bersembunyi di atas pokok.

Juri turut mendengar bagaimana mangsa pertamanya, seorang gadis berusia 21 tahun diculik ketika berjalan pulang dari kelab malam di Watford, awal pagi 21 April dan McCann merogol mangsa yang diacu pisau dalam bilik gadis itu.

Mangsa ketiga berusia 13 tahun diculik pada waktu siang, 25 April lalu, di barat laut London dan dimasukkan ke dalam kereta dinaiki seorang lagi wanita berusia 25 tahun. Kedua-dua mereka dirogol berulang kali sebelum berjaya melarikan diri apabila memukul kepala tertuduh dengan botol vodka.

McCann dari Harrow, utara London, dengan angkuh memberitahu polis kejadian lain tidak akan berlaku jika pihak berkuasa berjaya memberkasnya selepas dua kes pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 7:04 AM