MARIA bersama anak lelakinya. FOTO Agensi
Agensi

RIO DE JANEIRO: Seorang lelaki tergamak menembak mati tunangnya sendiri kerana cemburu melihat wanita itu terlalu memberi perhatian kepada anak mereka yang berusia setahun, kata polis.

Mail Online melaporkan, Maria Eduarda Lima, 17, ditemui cedera parah akibat ditembak di kepala dan tangan manakala anak lelakinya ditemui menangis di sisi.

Tunangnya, Patrick Azevedo Silva, 22, dipercayai menembak Maria pada awal pagi Selasa lalu sebelum melarikan diri.

Bapa saudara Maria berkata, pada malam sebelum kejadian mangsa menghantar mesej kepada ibunya memberitahu Patrick mengancam untuk membunuhnya.

Ibu bapa Maria yang bimbang segera ke rumah wanita itu di Rio de Janeiro dan menemui mangsa terbaring berlumuran darah dengan anaknya masih menangis di sisi.

Katanya, kemungkinan Maria ditembak ketika meriba anaknya itu.

Maria meninggal dunia selepas dua hari dirawat di hospital akibat cedera parah di kepala.

Silva ditangkap ketika cuba menaiki bas dan mengaku dia membunuh tunangnya kerana cemburu melihat mangsa sering melayan anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 9:22 AM