ADRIANNA terima sebuah kereta. FOTO/AGENSI
Agensi

AUSTIN: Kegigihan seorang pelayan mencari rezeki sehingga sanggup berjalan 22 kilometer setiap hari untuk ke tempat kerjanya terbalas selepas sepasang suami isteri yang tidak dikenali menghadiahkannya kereta.

Adrianna Edwards berkata, dia sebelum ini berjalan lebih lima jam setiap hari pergi kerja dan pulang di Galveston, Texas, malah memang berusaha menyimpan wang untuk membeli kereta, lapor Daily Mail.

“Saya mempunyai pelbagai tanggungjawab jadi sanggup berbuat apa saja untuk mencari wang,” katanya kepada CNN.

Kebetulan, suami isteri yang datang ke restoran itu untuk sarapan pagi pada Selasa lalu mendapat tahu kisahnya. Mereka meninggalkan premis itu sebaik selesai makan, tetapi tiba-tiba pulang semula membawa sebuah kereta yang dihadiahkan kepada Adrianna.

Adrianna berkata, pada mulanya dia menyangka pasangan yang enggan dikenal pasti itu bergurau, tetapi amat bersyukur dengan pemberian mereka.

“Kini perjalanan ke tempat kerja hanya mengambil masa setengah jam, malah saya boleh menyimpan wang pula untuk ke kolej.

“Pasangan itu sungguh baik hati, mereka tidak mahu sebarang bayaran atau pembalasan. Sebaliknya mereka cuma mahu saya juga berbuat baik kepada orang lain yang memerlukan kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 10:06 PM