UPCHURCH serah diri di Balai Polis Jefferson City. FOTO/AGENSI
Agensi

Washington: Seorang lelaki menyerah diri di balai polis Missouri dengan badannya berlumuran darah selepas menembak mati teman wanitanya dan seorang remaja dalam dua kejadian berasingan pada Hari Kesyukuran.

Torry Andre Upchurch, 27, menyerah diri di Balai Polis Jefferson City beberapa jam selepas membunuh Shantae Hill-Cook, 33, dan seorang kenalan, Earle Key Jr, 17, pada Khamis lalu.

Daily Mail memetik kenyataan polis melaporkan suspek menembak tepat muka Key dengan pistol 9mm sebaik mangsa buka pintu rumahnya kira-kira jam 6 petang sebelum melarikan diri.

Hampir tiga jam kemudian, polis menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung kejadian tembakan di Southridge Drive, lapan kilometer dari kediaman Key.

Hasil siasatan menemui mayat Shantae maut di atas jalan raya dengan beberapa kesan tembakan pada badannya.

Suspek dikatakan marah kerana Shantae mahu membantu mengangkat barang seorang saksi kejadian yang ketika itu bersama anaknya.

Saksi berkata, Upchurch mengarahkan mangsa duduk dalam kereta sebelum mengeluarkan pistol dan melepaskan beberapa das tembakan.

Upchurch kemudian melarikan diri dengan kereta mangsa dan memandu terus ke balai polis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 8:25 PM