KANAK-KANAK dilihat bermain dengan buih yang berpunca daripada pencemaran di pantai Marina di Chennai, India. FOTO AFP
AFP

CHENNAI: Beberapa pantai popular di bandar ini dipenuhi dengan buih putih untuk empat hari berturut-turut semalam dengan kerajaan memberi amaran ia berpunca daripada pencemaran.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang kanak-kanak bermain dengan buih berbau busuk berkenaan dan orang ramai merakamkan gambar swafoto dengan latar belakang pantai yang putih.

Doktor memberi amaran buih yang terjadi setiap kali musim monsun tetapi paling buruk pada tahun ini boleh menyebabkan masalah kulit.

Namun, amaran itu tidak sampai kepada beratus-ratus keluarga miskin yang tinggal di sepanjang pantai menyebabkan mereka membiarkan kanak-kanak dengan gembira bermain dengan buih berkenaan.

Lembaga Kawalan Pencemaran Tamil Nadu berkata, pihaknya mengambil sampel buih itu yang tersebar beberapa kilometer di sepanjang pantai untuk dianalisis.

“Tidak selamat untuk orang ramai bermain dengan buih ini tetapi mereka tidak faham risikonya,” kata saintis di Pusat Nasional untuk Kajian Pantai, Pravakar Mishra.

Katanya, buih itu bertambah banyak dari tahun ke tahun.

Pihak berkuasa juga berjaga-jaga bagi mengelak kejadian pada 2017 di mana ribuan ikan mati akibat pencemaran di pantai berulang lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 12:28 PM