PEJABAT Shutterstock di Empire State Building, New York. FOTO shutterstock.com
AFP

MOSCOW: Kerajaan Russia menyekat laman agensi foto Amerika Syarikat, Shutterstock disebabkan paparan gambar yang menghina simbol negara itu, dengan menunjukkan bendera Russia ditempatkan dalam longgokkan tahi anjing.

Pemantau komunikasi Roskomnadzor, berkata beberapa halaman tertentu Shutterstock dimasukkan dalam senarai yang diharamkan, menurut agensi berita TASS.

Roskomnadzor berkata laman di Shutterstock, yang mempunyai 300 juta imej, disekat kerana menghina simbol negara dan menunjukkan kaedah membunuh diri.

Roskomsvoboda, kumpulan kempen bebas maklumat yang mengumumkan larangan itu semalam berkata, halaman berkenaan membiarkan imej bendera Russia ditempatkan dalam longgokkan najis tanpa sebarang tindakan.

Bagaimanapun, imej berkenaan masih boleh diakses di laman Shutterstock sehingga malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 10:19 PM