WARIS mangsa yang maut tidak dapat menahan sebak dan menangis di luar bilik mayat hospital di New Delhi. - Reuters
PASUKAN forensik turut berada di lokasi kebakaran. - AFP
JENTERA bomba dilihat berada di lokasi kilang terbakar. - Reuters
AFP

Sekurang-kurangnya 43 terbunuh selepas sebuah kilang empat tingkat di sini, terbakar semalam, dengan pihak berkuasa menjangka angka kematian mungkin meningkat.

Kebakaran kilang membuat beg yang terletak di kawasan padat dengan bangunan yang menempatkan pelbagai kilang kecil serta gudang penyimpanan, berlaku awal pagi.

“Kami berjaya menyelamatkan kira-kira 50 orang,” kata ketua bomba New Delhi, Sunil Choudhary.

Menurutnya, ramai pekerja sedang tidur di dalam kilang setinggi empat tingkat itu ketika kejadian.

Choudhary memberitahu, bomba berdepan kesukaran untuk memasuki premis yang gelap dan sempit yang terletak di Sadar Bazar itu.

Beberapa imej televisyen menunjukkan anggota bomba membawa keluar mangsa yang cedera dari bangunan itu.

AMBULANS membawa mangsa yang cedera. - AFP

Kilang itu dipenuhi dengan beg sekolah dan bahan pembungkusan.

Jurucakap polis New Delhi, Monika Bhardwaj, berkata punca kebakaran masih belum diketahui tetapi api merebak pantas kerana bangunan mengandungi bungkusan plastik, beg dan bahan mudah terbakar lain.

“Kebanyakan mangsa terperangkap ketika kebakaran dan mati akibat terhidu asap tebal,” katanya.

Kebanyakan kilang pembuatan kecil di bandar besar di India terletak di lokasi usang yang sempit kerana kos sewa atau tanah yang murah.

Banyak kebakaran berlaku di kilang seperti itu di India kerana tiada pengawasan pihak berkuasa dan premis juga biasanya dijadikan tempat tinggal pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 8:32 AM