ASAP di gunung berapi White Island. FOTO/AFP
ASAP di gunung berapi White Island. FOTO/AFP
Reuters

WHAKATANE: Gegaran yang semakin meningkat di gunung berapi White Island, New Zealand menyebabkan usaha mencari lapan lagi mangsa yang masih hilang di pulau itu tidak dapat dilakukan.

Angka korban dalam letusan gunung berapi itu kelmarin meningkat kepada enam orang dengan lapan lagi masih hilang dan dianggap sudah meninggal dunia.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, memberitahu pegawai kecemasan bermesyuarat hari ini untuk menentukan sama ada usaha mencari akan dilancarkan.

“Saya bercakap dengan ramai anggota yang terbabit dalam operasi dan mereka amat tidak sabar untuk kembali ke sana, mahu membawa mereka yang disayangi pulang,” kata Ardern.

Namun kemas kini pada pertengahan pagi daripada agensi geologi, GeoNet, menunjukkan keadaan di pulau itu masih bahaya, yang berkemungkinan akan melewatkan usaha mencari.

“Sejak jam 4.00 pagi ini paras gegaran gunung berapi meningkat di pulau itu

“Keadaan aktiviti gegaran masih tidak tentu. Letusan masih berkemungkinan berlaku dalam masa 24 jam,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Kepulan asap kelihatan dari pulau berkenaan pagi ini.

Polis berkata, keselamatan pasukan penyelamat adalah keutamaan dan masih menunggu nasihat daripada pakar bila mereka boleh masuk ke pulau itu, yang diselaputi debu panas dan wap.

pix wires

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 10:40 AM