PENGGUNA jalan raya melepasi bangkai kereta yang musnah terbakar di Guwahati. FOTO AFP
AFP

GUWAHATI: Dua maut dan beberapa lagi cedera selepas terkena tembakan polis ketika cuba menyuraikan penunjuk perasaan di timur laut India kerana membantah rang undang-undang kewarganegaraan baharu negara itu.

Pihak berkuasa federal mengerahkan ribuan anggota separa tentera dan menyekat akses internet mudah alih di rantau itu untuk menentang penunjuk perasaan.

Dua penunjuk perasaan terbunuh itu antara kumpulan terbesar dirawat akibat pelbagai luka di Hospital dan Kolej Perubatan Guwahati.

“Beberapa orang daripada mereka menerima rawatan akibat terkena peluru. Dua daripada 21 orang meninggal dunia,” kata Ramen Talukdar, seorang doktor di hospital.

Rang Undang-Undang Pindaan Kewarganegaraan India (CAB), yang diluluskan pada Rabu lalu, membenarkan permohonan kewarganegaraan segera daripada minoriti agama dari tiga negara jiran, tetapi bukan umat Islam.

Ia sekaligus membangkitkan kemarahan penduduk di Assam yang menentang CAB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 3:57 PM