SEDUTAN video menunjukkan Callaway menampar punggung wartawan yang membuat laporan secara langsung. FOTO Agensi
Agensi

LOS ANGELES: Polis menahan paderi yang sebelum ini menepuk punggung pengacara televisyen wanita membuat liputan secara langsung larian lima kilometer disertai lelaki itu minggu lalu.

Paderi berkenaan, Thomas Callaway, 43, dari Statesboro, Georgia, ditahan kelmarin dan didakwa melakukan kesalahan seksual ketika acara Larian Jambatan Savannah minggu lalu.

Ketika kejadian, wartawan WSAV-TV, Alex Bozarjian, 23, sedang membuat laporan langsung peserta memulakan larian di atas jambatan berkenaan apabila Callaway menampar punggungnya.

Rekod mahkamah menunjukkan Callaway yang sudah berkahwin, didakwa tengah hari kelmarin.

“Kejadian yang berlaku terhadap Alex Bozarjian ketika siaran langsung Larian Jambatan Savannah itu sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima.

“Tiada siapa wajar dimalukan seperti ini. Keselamatan dan perlindungan pekerja adalah keutamaan kami,” kata kenyataan WSAV-TV.

Rakaman video menunjukkan Callaway memukul punggung wartawan itu turut dimuat naik di media sosial, termasuk di Twitter yang mencatat tontonan lebih 11 juta kali.

Callaway datang ke stesen televisyen berkenaan selepas kejadian itu, mengaku dia adalah lelaki dalam video berkenaan sebelum membuat permohonan maaf terbuka yang disiarkan Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 8:13 AM