ANTARA ahli keluarga mangsa Pesawat Hercules C-130 dari Chile.
AFP

PUNTA ARENAS: Pesawat Hercules C-130 dari Chile yang terhempas dalam perjalanan ke Antartika mengorbankan kesemua 38 orang di dalam pesawat, pernah mengalami situasi cemas tiga tahun lalu di laluan sama.

Susulan kehilangan pesawat itu pada Isnin lalu, media tempatan menyiarkan rakaman video menunjukkan peralatan kecemasan, anggota bomba dan ambulans menunggu di landasan lapangan terbang bandar itu pada April 2016.

Dalam satu kenyataan, Tentera Udara Chile berkata pesawat dalam rakaman itu adalah sama dengan yang terhempas baru-baru ini ketika menyeberangi Drake Passage menghubungkan lautan Atlantik dan Pasifik, dalam perjalanan ke pangkalan udara Chile.

“Ketika mendekati pangkalan Antartika pada 2016, kru penerbangan menyedari gear kiri pesawat itu tidak beranjak ke posisi bawah ketika mengaktifkan gear pendaratan.

“Juruterbang kemudian memutuskan untuk kembali ke Punta Arenas, menggunakan kaedah alternatif bagi menurunkan gear pendaratan dan mendarat tanpa berlaku kemalangan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Tentera Udara berkata rekod penyelenggaraan pesawat itu menunjukkan ia dibuat dengan teratur, tetapi akan menyiasat mesej audio WhatsApp dihantar seorang penumpang yang memberitahu saudaranya pesawat itu berhadapan masalah elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 3:20 PM