CAWANGAN terbesar Louis Vuitton di Hong Kong akan ditutup. FOTO AFP
CAWANGAN terbesar Louis Vuitton di Hong Kong akan ditutup. FOTO AFP
AFP

HONG KONG: Jenama mewah, Louis Vuitton akan menutup cawangan terbesarnya di Hong Kong selepas lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan penunjuk perasaan.

Butik berkenaan yang terletak di hab kewangan Times Square terpaksa ditutup selepas pemilik premis, Wharf Real Estate Investment Corporation enggan menurunkan kadar sewaan, lapor South China Morning Post.

Menurut laporan itu, butik itu berkeluasan 10,000 kaki persegi terletak di tingkat dua pusat beli-belah berkenaan serta menjadi antara cawangan utama daripada lapan cawangan yang ada di bandar berkenaan.

Berdasarkan kadar industri, sewa bulanan di lokasi berkenaan mencecah HK$5 juta (RM2.6 juta).

Namun, sehingga kini Louis Vuitton Hong Kong, Times Square dan Wharf enggan memberikan sebarang komen.

Berita penutupan butik berkenaan muncul selepas kerajaan Hong Kong mendedahkan jumlah jualan bagi sektor runcit negara berkenaan menyaksikan penurunan selama 10 bulan berturut-turut pada November 2019 dan merosot 23 peratus tahun ke tahun.

Jualan bagi produk seperti barang kemas, jam tangan, jam dinding serta hadiah mewah adalah antara yang terjejas teruk tahun lalu.

Kerajaan Hong Kong menuding jari kepada penunjuk perasaan yang menjejaskan sektor pelancongan serta sentimen pengguna.

Segmen jenama mewah di Hong Kong bergantung penuh kepada pelancong China, yang pada dasarnya tidak berapa digemari penduduk tempatan.

Berdasarkan angka terbaru yang dikeluarkan Hong Kong Tourism Board, hanya 2.65 juta pelancong mengunjungi negara berkenaan pada November 2019, merosot 56 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:35 AM