BANGKAI pesawat Ukraine International Airlines. FOTO REUTERS
BANGKAI pesawat Ukraine International Airlines. FOTO REUTERS
Agensi

Tehran: Semua 176 penumpang dan anak kapal terkorban selepas sebuah pesawat Ukraine International Airlines terhempas di Lapangan terbang Antarabangsa Imam Khomeini di sini.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy berkata, tiada mangsa terselamat dalam kejadian itu.

Beliau yang memendekkan lawatannya ke Oman akibat insiden itu berkata, pihaknya akan meneliti punca nahas.

“Saya turut mengucapkan takziah terhadap ahli keluarga dan rakan mangsa,” katanya.

Terdahulu, Reuters yang memetik laporan stesen televisyen tempatan Iran melaporkan pesawat jenis Boeing 737 itu terhempas berhampiran dengan lapangan terbang berkenaan.

Nahas menyebabkan pesawat itu terbakar.

Laporan awal juga menyebut nahas berpunca daripada masalah teknikal.

Susulan kejadian, perkhidmatan kecemasan Iran menghantar 22 ambulans, empat bas dan helikopter ke lokasi.

Bagaimanapun, menurut jurucakap perkhidmatan itu, usaha menyelamat tidak dapat dilakukan kerana api terlalu marak.

Terdahulu, berdasarkan laman penjejak penerbangan FlightRadar24, pesawat itu adalah PS 752 dan dalam perjalanan ke Kiev, Ukraine.

Sebelum ini, agensi berita IRNA dalam laporan awalnya menyebut bahawa pesawat membawa 180 penumpang dan anak kapal.

Sementara itu, Boeing dalam kenyataan berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 3:50 PM