Gempa bumi berukuran 4.5 magnitud menggegarkan kawasan berhampiran loji nuklear Bushehr di Iran, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tehran: Gempa bumi berukuran 4.5 magnitud menggegarkan kawasan berhampiran loji nuklear Bushehr di Iran, hari ini.

Gempa itu yang mempunyai kedalaman 10 kilometer, dirasai sehingga 17 kilometer di selatan-tenggara bandar Borazjan sekitar jam 6:49 pagi waktu tempatan.

Agensi berita negeri IRNA, memetik ketua pusat pengurusan krisis Bushehr, Jahangir Dehghani berkata, setakat ini, tiada laporan kerosakan terhadap loji nuklear berkenaan namun, tujuh orang dilaporkan cedera, termasuk empat dimasukkan ke hospital.

"Pasukan pengurusan krisis berada di rantau ini dan menilai kerosakan terhadap bangunan,” katanya dalam laporan yang diterbitkan beberapa jam selepas gempa melanda.

Gempa terbaru ini berlaku dua minggu selepas gempa 5.1 magnitud melanda kawasan sama, tanpa membabitkan sebarang kecederaan atau kerosakan.

Loji nuklear Bushehr, yang menghasilkan kuasa sehingga 1,000 megawatt, telah disiapkan oleh Rusia selepas bertahun-tahun penangguhannya dan diserahkan secara rasmi pada September 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 8:47 PM