PENDUDUK dipindakan ekoran letusan gunung berapi Taal. FOTO AFP.
PENDUDUK dipindakan ekoran letusan gunung berapi Taal. FOTO AFP.
Agensi

Manila: Kejadian letusan Gunung berapi Taal, kelmarin menyebabkan penerbangan laluan domestik dan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa, dekat sini dibatalkan.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila menerusi satu ciapan menasihati penumpang supaya berhubung dengan wakil syarikat penerbangan untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai jadual penerbangan.

“Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino dibatalkan sementara waktu berikutan letusan Gunung berapi Taal,” katanya.

Daily Mail melaporkan, dianggarkan 6,000 penduduk berhampiran turut dipindahkan ke kawasan selamat.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemusnahan dilaporkan, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan letusan berkenaan boleh menyebabkan bencana tsunami.

“Kita sudah mengarahkan penduduk di kawasan berisiko tinggi untuk berpindah ke kawasan lebih selamat, “kata Ketua Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS), Renato Solidum.

Suri rumah, Renelyn Bautista, 38 berkata, dia keluar dari rumah untuk berpindah ke tempat selamat bersama dua anak termasuk bayi berusia empat bulan selepas menerima amaran mengenai letusan gunung berapi berkenaan.

Gunung berapi Taal dilaporkan meletuskan debu tengah hari kelmarin, dan kemungkinan langkah pemindahan ribuan penduduk akan dilakukan.

PHIVOLCS mengeluarkan status amaran gunung berapi berkenaan pada tahap empat (letusan berbahaya).

Ahli seismologi kerajaan negara itu merakamkan pergerakan magma terhadap kawah Taal, satu daripada gunung berapi paling aktif yang terletak 65 kilometer di selatan Manila.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 12:11 PM