BANGKAI pesawat berkenaan. FOTO AFP
AFP

Tehran: Dua peluru berpandu dipercayai digunakan untuk menembak jatuh pesawat Ukraine yang mengorbankan 176 anak kapal dan penumpang.

New York Times melaporkan ia berdasarkan rakaman kamera keselamatan yang disahkan dan menunjukkan kejadian itu.

Dua peluru berpandu itu dilancarkan selang 30 minit dan ia menjelaskan transponder pesawat itu tidak berfungsi selepas terkena peluru pertama.

Pesawat Ukraine International Airlines itu ditembak jatuh tidak lama selepas berlepas dari lapangan terbang di sini.

Awalnya, Iran menafikan pembabitannya yang menyebabkan insiden berkenaan.

Bagaimanapun, negara itu kemudian mengakui tersilap menembak pesawat terbabit yang dikatakan terbang berhampiran dengan kemudahan tentera.

Rakaman video juga menunjukkan pesawat itu terbakar dan berpatah balik ke arah lapangan terbang.

Tidak lama kemudian ia meletup dan terhempas.

Video berkenaan dikatakan dirakam di atas bumbung bangunan di Bidkaneh, perkampungan terletak berhampiran dengan kawasan ketenteraan Iran.

Susulan insiden berkenaan, orang awam dengan sebahagian besarnya adalah penuntut menyertai demonstrasi membantah tindakan pihak berkuasa Iran.

Pihak berkuasa negara itu turut mengesahkan menahan seorang individu berhubung insiden berkenaan tetapi enggan memperincikan identiti dan jumlah mereka yang ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 9:46 AM