PESAWAT Delta Airlines membuang bahan api hingga menyebabkan 60 kanak-kanak dan dewasa mengalami kerengsaan kulit serta masalah pernafasan. FOTO Agensi
Agensi

Los Angeles: Kira-kira 60 individu mengadu mengalami kerengsaan kulit dan masalah pernafasan susulan tindakan sebuah pesawat membuang bahan api ketika melakukan pendaratan kecemasan di lapangan terbang antarabangsa di sini.

BBC melaporkan, majoriti mangsa adalah kanak-kanak dan sebahagiannya dewasa daripada enam sekolah berhampiran.

Sebuah sekolah rendah Cudahy yang terletak 31 kilometer dari lapangan terbang merekodkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 20 kanak-kanak dan 11 dewasa.

Pesawat Delta Airlines itu dilaporkan berpatah balik ke lapangan terbang kerana mengalami masalah enjin.

Perakam video Alan De Leon memberitahu CNN bahawa dia mendengar bunyi nyaring dan menghidu bahan api dari pesawat yang menyebabkan matanya mengalami kerengsaan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan berkata, ia menyiasat kejadian itu.

Datuk Bandar Cudahy Elizabeth Alcantar memberitahu akhbar tempatan bahawa beliau amat kecewa dengan apa yang berlaku kerana membabitkan murid sekolah rendah.

Delta Airlines dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat penumpang itu membuang bahan api bagi mengurangkan beban sewaktu melakukan pendaratan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 5:16 PM