GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Durban: Seorang aktivis Afrika Selatan yang juga anak pendakwah Islam terkenal bertarung nyawa di sebuah hospital selepas ditembak di luar mahkamah di sini, Rabu lalu.

Kolonel Polis Thembeka Mbele berkata, Yousuf Deedat, 65, anak lelaki kepada arwah Sheikh Ahmed Deedat, ditembak di kepala ketika berjalan ke mahkamah keluarga Verulam di pinggir bandar Durban bersama isterinya.

Al-Jazeera melaporkan, Mbele berkata, suspek yang tidak dikenali menembak tepat di kepala Yousuf.

“Selepas ditembak, mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan perubatan, manakala suspek melarikan diri ke sebuah kereta kemudian hilang tanpa jejak.

"Mangsa berada dalam keadaan kritikal di hospital tempatan dan dimaklumkan mengalami kecederaan serius, kami tetap berharap semoga beliau pulih,” katanya.

Mbele berkata, pihak keluarga memohon supaya semua pihak memberi ruang dan privasi kepada mereka.

Sheikh Ahmed Deedat, yang meninggal dunia pada 2005 adalah seorang mubaligh Muslim Afrika Selatan yang terkenal dalam mengupas perbezaan agama.

Beliau terkenal di seluruh dunia sebagai penceramah dan penulis yang dihormati dalam menerbitkan beberapa buku kecil mengenai Islam dan Kristian.

Sheikh Ahmed Deedat juga pengasas Pusat Penyebaran Islam Antarabangsa bertujuan untuk mendengar dan memahami Islam di seluruh dunia.

Anak lelakinya Yousuf adalah seorang aktivis komuniti terkenal dan cendikiawan Muslim di Durban.

Polis berkata, mereka masih menyiasat punca di sebalik tembakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 4:15 PM