GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
Agensi

HONG KONG: Seorang penumpang pesawat Hong Kong warganegara Jepun dipaksa membuat ujian pengesahan kehamilan sebelum dibenarkan menaiki pesawat yang menuju pulau Pasifik, lokasi popular dituju individu untuk mendapatkan kerakyatan Amerika Syarikat (AS) untuk bayi mereka.

Midori Nishida, 25, diiring ke tandas awam Lapangan Terbang Hong Kong dan diminta membuat ujian air kencing bagi mengesahkan sama ada dia hamil atau tidak sebelum dibenarkan menaiki pesawat menuju ke Saipan.

Nishida sudah mengisytiharkan dirinya tidak hamil ketika mendaftar masuk namun, kakitangan syarikat penerbangan itu tetap memintanya membuat ujian berkenaan kerana dia kelihatan seperti wanita hamil.

Ujian berkenaan didapati negatif.

“Ia sangat memalukan dan mengecewakan,” katanya kepada The Wall Street Journal.

Berdasarkan hantaran pada blognya yang dilaporkan akhbar The Saipan Tribune, Nishida yang menetap di Tokyo dibesarkan di Saipan dan berkunjung ke sana untuk melawat ibu bapanya.

“Saya sering ke Saipan dan belum pernah berdepan situasi seperti ini. Sama ada dipaksa membuat ujian kehamilan atau tidak dibenarkan menaiki pesawat,” katanya.

Saipan adalah destinasi popular di kalangan wanita hamil yang berhasrat melahirkan anak mereka di sana bagi mendapatkan kerakyatan AS untuk anak mereka.

Pada 2018, hampir 600 bayi dilahirkan oleh pelancong yang berkunjung ke kepulauan Mariana, jauh lebih tinggi berbanding bayi yang dilahirkan penduduk tempatan.

Menurut data dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan tempatan, 575 pelancong China melahirkan bayi di sana pada tahun berkenaan.

Ini berlaku kerana pada 2009, kerajaan memperkenalkan program tanpa visa bagi menarik lebih ramai pelancong China berkunjung ke sana yang menjadikan kepulauan berkenaan satu-satunya destinasi di bawah kuasa AS yang boleh dikunjungi tanpa visa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 6:05 PM