KEKOTORAN yang menyebabkan sepasukan pencuci kereta mengambil masa yang lama untuk membersihkannya. FOTO Agensi
KEKOTORAN yang menyebabkan sepasukan pencuci kereta mengambil masa yang lama untuk membersihkannya. FOTO Agensi
Agensi

Sydney: Sepasukan pencuci kenderaan profesional terpaksa mengambil masa selama tujuh jam hanya untuk membersihkan sebuah kereta pelanggan mereka yang terlalu kotor.

Cucian itu sekali gus memberi peluang kedua untuk kereta berkenaan ‘bernyawa’ semula.

Mirror.co.uk melaporkan, kekotoran berkenaan bukan hanya meliputi tempat duduk penumpang bahagian belakang, tetapi juga pada karpet di dalam kereta itu.

Kisah itu dikongsikan pengurusan pusat servis dan cuci kereta, Proline Automotive yang terletak di New South Wales di sini, menerusi Facebook rasminya.

“Kebiasaannya kami akan berkongsi gambar sebelum dan selepas cucian, tetapi kali ini terlalu funky untuk tidak dikongsi.

“Kami mengambil masa tujuh jam untuk membersihkannya berulang kali dengan pencuci bagi menghilangkan kekotoran dan bau yang melekat.

“Bagaimanapun, ada kekotoran yang tidak dapat dibersihkan hingga meninggalkan kesan terutama pada kerusi keselamatan kanak-kanak,” katanya.

Hantaran di Facebook itu mendapat perhatian pengikut pusat servis dan cuci kereta dengan rata-ratanya memberi maklum balas negatif.

Seorang daripadanya mempersoalkan bagaimana pemilik kereta itu menjaga kenderaannya.

“Sangat kotor. Adakah mereka tidak pernah membersihkan langsung kereta?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 8:53 AM