EKONOMI Singapura turut terjejas dengan wabak Covid-19. FOTO REUTERS
EKONOMI Singapura turut terjejas dengan wabak Covid-19. FOTO REUTERS
Agensi

Singapura: Singapura mengumumkan Pakej Penstabilan dan Bantuan bernilai SG$4 bilion (RM12 bilion) bagi membantu pekerja dan syarikat yang terjejas akibat wabak Covid-19 khususnya bagi sektor pelancongan dan pengangkutan yang dilihat terjejas teruk.

Berita Harian Singapura melaporkan, pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Heng Swee Keat dalam pembentangan Belanjawan 2020 hari ini.

Menurutnya, pakej berkenaan diwujudkan bagi menstabilkan ekonomi Singapura serta membantu pekerja dan syarikat ketika ini.

“Selain menyediakan skim untuk membantu pekerja terus kekal dalam pekerjaan mereka, pakej itu juga akan membantu syarikat menangani aliran tunai.

“Semua syarikat yang membayar cukai akan mendapat rebat cukai pendapatan korporat sebanyak 25 peratus daripada jumlah cukai yang perlu dibayar, sehingga SG$15,000 (RM45,000) bagi setiap syarikat,” katanya.

Menurutnya, penyewa dan pemajak di hartanah yang diuruskan pemerintah seperti Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Penguasa Darat Singapura (SLA) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) juga boleh berbincang dengan agensi berkenaan mengenai bayaran sewa yang fleksibel seperti bayaran ansuran.

Heng berkata, sektor pelancongan, penerbangan, runcit, khidmat makanan serta khidmat teksi dan kereta sewa akan turut menerima bantuan tambahan kerana sektor ini terjejas secara langsung oleh wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 5:55 PM
    Digital NSTP Subscribe