Quaden Bayles. FOTO Agensi
Quaden Bayles. FOTO Agensi
Agensi

Queensland: Seorang kanak-kanak kerdil yang sering dibuli menyuarakan hasrat untuk membunuh diri kerana tidak tahan diejek rakannya.

Quaden Bayles, 9, digelar ‘orang kenit’ oleh rakannya dan tidak tahan dibuli setiap hari menyebabkan dia menangis dan menyatakan untuk menamatkan hidupnya.

Ibunya, Yarraka Bayles berkongsi video mengenai luahan anaknya itu selepas mengambil anaknya itu dari sekolah.

Wanita itu mendedahkan, anaknya yang menghidap masalah sering dihidapi golongan kerdil iaitu achondroplasia meminta ibunya tali kerana mahu membunuh diri.

Dalam rakaman video itu yang kini mencecah lebih 3 juta kali tontonan, Quaden berkata, dia mahu menikam jantungnya sendiri selain mahu seseorang membunuhnya.

Kanak-kanak itu turut memegang lehernya dan berkata “saya mahu mati”.

Bagaimanapun, ibunya tidak mendedahkan secara spesifik insiden buli berkenaan selain memberitahu anaknya itu digelar 'orang kenit' oleh rakan kelasnya.

“Tolong didik anak-anak, keluarga dan rakan-rakan kalian kerana hanya dengan kata-kata itu, ada kanak-kanak yang tidak gembira dan mahu membunuh diri,” katanya.

Katanya, kejadian buli itu memberi kesan mendalam terhadap anaknya.

“Anak saya hanya mahu ke sekolah untuk mendapat pendidikan serta berseronok namun, setiap hari ada saja perkara menyedihkan berlaku.

“Saya ada menerima banyak nasihat dan saya perlukan lebih lagi. Saya mahu orang luar tahu betapa perkara ini menyakitkan kami sekeluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 6:37 PM