PETUGAS perubatan memeriksa pesakit di hospital sementara di Wuhan. FOTO AFP.
PETUGAS perubatan memeriksa pesakit di hospital sementara di Wuhan. FOTO AFP.
Reuters

BEIJING: Wilayah Hubei tidak termasuk ibu kotanya, Wuhan dilapor tiada kes baharu koronavirus buat pertama kalinya dalam tempoh 24 jam, sejak wabak iu melanda China.

Ia susulan tindakan pihak berkuasa negara yang mengasingkan pesakit jangkitan import ke daerah lain.

Wuhan yang juga pusat epidemik mengesahkan 126 kes semalam, namun tiada jangkitan baharu lain di wilayah berkenaan, menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional China, hari ini.

Di wilayah lain China yang tidak mempunyai jangkitan baharu selama beberapa hari, dilapor mula menetapkan tarikh pembukaan sesi persekolahan, sekali gus tanda negara itu akan kembali normal.

Qinghai iaitu wilayah barat laut China yang merekodkan sifar kes baharu selama 29 hari sehingga semalam, berhasrat membuka persekolahan secara berperingkat bermula 11 Mac hingga 20 Mac.

Sementara Wilayah Guizhou yang 18 hari bebas daripada jangkitan baharu Covid-19 dijangka membuka semula sekolah mulai 16 Mac.

Susulan pengurangan kes baharu di China, perhatian pihak berkuasa itu kini tertumpu kepada jangkitan yang berpotensi datang dari luar negara.

Pihak berkuasa di Beijing, Shanghai dan Guangdong berikrar untuk kuarantin pelancong dari negara yang terjejas teruk seperti Korea Selatan, Jepun, Iran dan Itali.

Sehingga semalam, jumlah keseluruhan kes koronavirus di tanah besar China mencecah 80,552 orang dengan kematian bertambah 30 menjadi 3,042 orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 2:27 PM