Agensi

New Delhi: Sekumpulan penduduk bertempiaran lari apabila seekor singa memasuki kampung di Madhavpur, Gujarat ketika mereka berkumpul.

India Today melaporkan, detik mencemaskan itu sempat dirakam penduduk kampung dan tular selepas dimuat naik di Twitter.

Menerusi rakaman berdurasi tujuh saat itu, penduduk kampung berkumpul di tengah jalan sebelum dikejutkan kehadiran singa terbabit.

Keadaan itu menyebabkan mereka lari menyelamatkan diri masing-masing kerana ketakutan.

Haiwan itu tidak menyerang penduduk sebaliknya berlari laju masuk ke dalam kampung.

Turut kelihatan dalam video itu beberapa penduduk lain yang memegang telefon bimbit bagi merakam aksi berkenaan.

Video itu dikongsi seorang pengguna Twitter bernama Susanta Nanda pada 7 Mac dan meraih ribuan tontonan tidak lama selepas dimuat naik di platform berkenaan.

“Bayangkan anda dikejar dengan kelajuan 80 kilometer sejam. Usain Bolt juga tidak dapat lari menyelamatkan diri daripada singa itu,” ciapnya.

Perkongsian itu mendapat maklum balas warganet yang memikirkan bagaimana keadaan singa berkenaan selepas insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:05 AM
Digital NSTP Subscribe