NURIN di Iraq menggesek biola. FOTO Agensi
NURIN di Iraq menggesek biola. FOTO Agensi
Agensi

London: Ketika satu dunia berkurung bagi memutuskan rangkaian Covid-19, pencinta muzik di pelbagai negara membuat persembahan di balkoni di kediaman masing-masing.

Memetik portal Gulf News, inisiatif itu seolah-olah tanda solidariti dunia dalam menyampaikan mesej berharap wabak yang kini meragut 37,815 nyawa itu akan berjaya dihapuskan.

Di Brazil, seorang pemuzik klasik, Sofia Ceccato dan suaminya, Simon Bechemin, masing-masing memainkan seruling serta trompet sebagai persembahan kepada jiran mereka.

SEORANG lelaki di Milan, Itali bermain gitar di balkoni apartmennya. FOTO Agensi
SEORANG lelaki di Milan, Itali bermain gitar di balkoni apartmennya. FOTO Agensi

Seorang artis Jerman, Tirzah Haase turut menyanyikan lagu Ode to Joy nyanyian asal Ludwig van Beethoven di tingkap apartmennya di Dortmund, barat Jerman.

Sementara itu, seorang lelaki di Milan, Itali memainkan gitar dari balkoni untuk menaikkan semangat rakyat negara itu yang kini memasuki minggu ketiga perintah berkurung.

Pemain piano amatur, Alberto Gestoso Arce pula bermain piano dari balkoninya di Barcelona, Sepanyol untuk dipersembahkan kepada jirannya.

Di Iraq, pemuzik, Nujin Hasan menggesek biola untuk penghuni di blok apartmennya di Arbil.

Dalam pada itu, laporan sama menyebut seorang penyanyi di Perancis, Stephane Senechal mendapat tepukan daripada jirannya selepas menyanyikan sebuah lagu di tingkap apartmennya di Paris.

Pihak berkuasa juga tidak ketinggalan menghiburkan orang apabila seorang polis Colombia, Sarjan Fernando Usma menyanyikan lagu penghargaan kepada rakyat kerana duduk di rumah sebagai satu daripada pengawalan wabak itu.

Setakat petang semalam, jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh dunia mencecah 785,777 mangsa dengan 37,815 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 8:10 AM