Kehadiran kambing di bandar Llandudno menarik perhatian penduduk yang kini berkurung di dalam rumah. FOTO Agensi
Kehadiran kambing di bandar Llandudno menarik perhatian penduduk yang kini berkurung di dalam rumah. FOTO Agensi
Agensi

LARANGAN keluar rumah bagi mengelak penularan Covid-19 menyebabkan bandar peranginan di Llandudno, di utara Wales ini ‘ditakluki’ ratusan kambing sejak beberapa hari lalu.

Haiwan itu dilihat memenuhi bandar, jalan raya utama dan kawasan kejiranan yang kini lengang selepas masyarakat setempat hanya berada di rumah sepanjang hari.

Gulf News melaporkan, kambing Kashmir itu kebiasaannya bergerak bebas di kawasan lapang berhampiran Laut Ireland, namun kini mengembara ke Llandudno sejak tiga hari lalu untuk meragut rumput dan memakan tanaman lain.

Ahli majlis perbandaran Llandudno, Carol Marubbi berkata, kehadiran kambing berkenaan bukan sesuatu yang biasa kerana haiwan itu hanya memenuhi bandar itu jika cuaca tidak menentu.

“Dalam keadaan ini, saya beranggapan ketiadaan orang ramai di bandar menarik perhatian haiwan itu untuk datang memenuhi kawasan ini,” katanya.

Marubbi berkata, dianggarkan 150 kambing berkeliaran di bandar berkenaan yang turut menjadi tumpuan pelancong tempatan dan kebanyakan penduduk tidak kisah dengan kehadiran haiwan itu.

Gambar kambing memenuhi bandar itu dan berehat di kawasan lapang menarik perhatian masyarakat tempatan ketika jutaan manusia kini terpaksa berkurung di rumah masing-masing.

“Saya sukakan kambing ini kerana karakter haiwan itu. Dengan jutaan orang kini berkurung di dalam rumah, namun kambing ini bebas berada di jalanan,” kata seorang individu di media sosial.

Selain itu, gambar haiwan berkenaan juga hangat diperkatakan di Twitter dengan ada individu yang mewujudkan tanda pagar with #goats dan #Llandudno.

Setakat semalam, United Kingdom (UK) merekodkan lebih 29,000 kes Covid-19 dengan lebih 2,300 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 6:00 AM