Polis Indonesia menjalankan sekatan jalan raya sempena pelaksanaan PSBB sejak 10 April lalu.
Polis Indonesia menjalankan sekatan jalan raya sempena pelaksanaan PSBB sejak 10 April lalu.
Agensi

MULAI Isnin, polis Indonesia melaksanakan hukuman lebih ketat dengan memberikan kertas amaran kosong yang perlu diisi individu yang ingkar perintah berkurung, lapor Tribunews.

Pengarah Lalu Lintas Ibu Pejabat Polis Metro Jaya, Sambodi Purnomo Yogo berkata, dalam operasi sempena pelaksanaan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) itu, pesalah diarahkan turun dari kenderaan dan perlu mengisi saman.

“Kami beri kertas saman kosong bagi masyarakat yang melanggar PSBB ini.

“Pesalah diminta membuat pengakuan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi kesalahan.

“Ia termasuk memberikan butiran kad pengenalan untuk direkodkan,” katanya.

Katanya, jika pesalah didapati mengulangi perbuatan itu, tindakan lebih tegas dikenakan.

“Ketika ini, masyarakat semakin mematuhi peraturan kerajaan.

“Analisis menunjukkan jumlah mereka yang ingkar PSBB semakin menurun. Begitu juga lebih ramai faham keperluan pemakaian penutup mulut dan hidung,” katanya.

Memetik portal CNN Indonesia, Jakarta melaksanakan PSBB selama dua minggu bermula Jumaat lalu dalam usaha mencegah penyebaran Covid-19.

Berikutan itu, setiap pemandu kenderaan hanya dibenarkan membawa 50 peratus daripada jumlah kapasiti maksimum penumpang pada hari biasa.

Selain itu, mereka diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung serta sarung tangan.

Indonesia memilih menguatkuasakan PSBB berbanding perintah berkurung berikutan tidak mahu menjejaskan aktiviti ekonomi.

Selain itu, kerajaan juga meminda cuti umum perayaan Aidilfitri tahun ini kepada satu tarikh pada Disember.

Ia bagi mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan kerana lazimnya jutaan rakyat yang bekerja di bandar besar pulang ke kampung pada akhir Ramadan.

Setakat semalam, Indonesia merekodkan 4,241 kes positif Covid-19 dengan 373 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 6:01 AM