X
ORANG awam memakai penutup mulut dan hidung, serta mengamalkan penjarakan sosial di depan sebuah restoran di Singapura. FOTO AFP
ORANG awam memakai penutup mulut dan hidung, serta mengamalkan penjarakan sosial di depan sebuah restoran di Singapura. FOTO AFP
BERNAMA

Singapura: Singapura mengesahkan 447 kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat semalam dengan dua kematian Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 17,548 dan 17 orang korban.

Dalam kenyataan lewat semalam, Kementerian Kesihatan (MOH), berkata mangsa terbaru, seorang lelaki rakyat Singapura berusia 76 meninggal dunia di Hospital Besar Changi, Jumaat.

Dilabel sebagai kes 1,323, mangsa itu duji positif Covid-19 pada 6 April dan mempunyai sejarah menghidap barah, kata MOH.

Sementara itu, MOH melaporkan satu lagi kematian pada hari sama iaitu seorang lelaki warga Bangladesh.

Bagaimanapun, lelaki itu, yang menjadi kes 17,410, disahkan dijangkiti Covid-19 setelah dia meninggal dunia.

"Bagaimanapun, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kematiannya," menurut MOH.

MOH juga melaporkan seorang wanita rakyat Malaysia dalam sektor penjagaan kesihatan antara kes positif baharu semalam.

Pesakit kes ke-17,267 itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara yang dilanda wabak itu dan kini dirawat di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Wanita berusia 27 tahun, yang bekerja sebagai jurukemas NUH, disahkan dijangkiti Covid-19 pada 30 April lalu dan tidak bekerja sejak mempunyai gejala penyakit itu,.

Sehingga kini, MOH melaporkan seramai 1,347 pesakit sudah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan komuniti manakala 24 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

Daripada kes baharu semalam, enam adalah kes dalam komuniti, 10 pemegang permit kerja yang menginap di luar asrama pekerja dan 431 adalah pemegang permit kerja yang di tinggal di asrama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 10:30 AM