ZAKEER Abbass Khan. FOTO todayonline
ZAKEER Abbass Khan. FOTO todayonline
BERNAMA

HAMPIR lima tahun selepas berjaya berkomplot untuk mengelar wajah pesaingnya, pemilik restoran murtabak terkenal Zam Zam dan bekas rakannya dijatuhkan hukuman penjara hari ini, menurut laporan berita dalam talian, TODAY.

TODAY melaporkan bahawa Zackeer Abbass Khan, 49, dikenakan hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan kerana mendalangi serangan itu.

Bekas rakannya, yang juga ahli kongsi gelap, Anwer Ambiya Kadir Maideen, 50, dikenakan hukuman penjara lima setengah tahun tetapi tidak dikenakan sebatan kerana pesalah berusia lebih 50 tahun tidak boleh dikenakan hukuman sebat mengikut undang-undang.

Kedua-dua lelaki yang tidak dijamin itu, didapati bersalah pada bulan Mac kerana bersekongkol untuk mencederakan penyelia Restoran Victory, Liakath Ali Mohamed Ibrahim.

Memetik peguam Zackeer, Sabrinder Singh, laporan itu mengatakan bahawa anak guamnya akan membuat rayuan terhadap keputusan Hakim Daerah Mathew Joseph, sementara Anwer akan mula menjalani hukumannya pada 6 Julai.

Menurut laporan itu, hakim, dalam kenyataannya, berkata kes ini dirujuk sebagai persaingan perniagaan hampir seabad di antara Zam Zam dan Victory, yang terletak bersebelahan di North Bridge Road di kawasan Bugis.

Zackeer dan Liakath adalah rakan niaga, bagaimanapun gagal dalam usahasama perniagaan, yang berakhir dengan Zackeer disaman dan 'ditipu' sebanyak $80,000 hasil penjualan, kata pihak pendakwaan.

Laporan berita dalam talian itu menyebut, Liakath, yang bekerja di Zam Zam sejak 1985 dan berhenti pada 2014 untuk bekerja dengan Restoran Victory.

Zackeer kemudian menyimpan dendam terhadap bekas rakannya itu.

Kedua-dua restoran berkenaan sering merebut pelanggan sehingga menimbulkan ketegangan antara pihak pengurusan dan kakitangannya, kata Hakim Daerah Mathew.

Kejadian itu meninggalkan parut kekal sepanjang lima sentimeter di bahagian bibir atas kanan Liakath.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 5:37 PM