SAUDARA mara pesakit Covid-19 beratur untuk mengisi semula tangki oksigen di sebuah hospital di Iquitos. AFP
SAUDARA mara pesakit Covid-19 beratur untuk mengisi semula tangki oksigen di sebuah hospital di Iquitos. AFP
AFP

Lima: Peru akan membina sebuah hospital di Amazon sebagai usaha menangani kes Covid-19 yang semakin meningkat di negara itu.

Agensi keselamatan sosial negara, EsSalud berkata, hospital terletak di Pucallpa, ibu kota wilayah Ucayali yang agak terpencil terletak di sempadan Brazil boleh menampung 100 katil dan akan beroperasi dalam masa tiga minggu.

"EsSalud akan membina sebuah hospital dalam tempoh terdekat di Ucayali untuk menampung pesakit Covid-19," kata agensi itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Amazon kini diisytihar darurat dengan hospital di bandar terbesarnya Iquitos dipenuhi dengan pesakit Covid-19 dan bilik mayat juga sudah tidak boleh menampung jumlah mayat terlalu ramai.

Kerajaan juga sudah menggerakkan 220 anggota kesihatan ke Amazon.

"Kami bekerja secara intensif untuk memperluas perkhidmatan dan menyediakan hospital di Amazon dengan semua cara yang diperlukan untuk merawat pesakit dengan Covid-19," kata Federico Tong Hurtado, jurucakap perkhidmatan keselamatan sosial.

Perdana Menteri Gustavo Zeballos mengatakan kerajaan akan memastikan bekalan oksigen dan barangan perubatan penting lain tiba melalui udara dan darat ke wilayah itu.

Kerajaan berjanji untuk meningkatkan kekerapan penerbangan dari Lima untuk memastikan sumbangan bantuan dapat diterima.

Sebuah kilang oksigen akan mula beroperasi di Iquitos, ibu kota wilayah Amazon Loreto bagi menampung 40 katil di hospital berkenaan.

Pesakit disahkan dijangkiti Covid-19 mati di hospital di wilayah itu kerana kekurangan oksigen, kata pegawai itu.

"Kebanyakan mereka mati akibat kekurangan oksigen dan inilah kenyataan menyedihkan kita," kata pengarah Kesihatan Wilayah Loreto di Amazon, Carlos Calampa, kepada AFP dalam satu panggilan video pada hari Khamis.

Loreto, yang bersempadan dengan Brazil, Colombia dan Ekuador, adalah wilayah terbesar dan kurang penduduk di Peru tetapi juga antara paling teruk terjejas oleh wabak itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 12:06 PM