FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Jakarta: Indonesia memulakan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan untuk mengelakkan berlakunya kebakaran hutan sehingga mengakibatkan jerebu di Asia Tenggara saban tahun.

Kebakaran tahun lalu adalah yang terburuk pernah dicatatkan sejak 2015 berikutan cuaca kering, memusnahkan kawasan seluas 1.6 juta hektar, khususnya di Sumatera dan kepulauan Borneo.

Sepanjang dua minggu lalu, Indonesia memulakan pembenihan awan di kawasan panas seperti Riau dan merancang untuk melaksanakan kaedah sama di Borneo.

Operasi berkenaan dijangka berlangsung sepanjang musim kering ini yang mungkin berakhir September nanti.

Jurucakap Agensi Penilaian dan Penggunaan Teknologi (BPTT), Tri Handoko Seto berkata, pihaknya mengambil langkah berkenaan sebelum kebakaran hutan bermula.

"Fokus utama adalah kawasan tanah gambut yang dikeringkan untuk proses penanaman kerana ia sangat mudah terbakar," katanya.

Kebakaran tahun lalu menyebabkan jerebu teruk di Asia Tenggara sehingga menyebabkan penutupan sekolah.

Aktivis alam sekitar memberi amaran bahawa masalah jerebu ketika pandemik Covid-19 adalah kombinasi yang 'membunuh'.

Berdasarkan penilaian semasa, Seto berkata, kebakaran mungkin berlaku tetapi tidak seteruk tahun lalu.

"Tapi, kita tidak tahu (apa yang akan berlaku). Jika keadaan menjadi semakin teruk dan berlaku jerebu seperti tahun lalu, kami akan guna teknik lain.

"Marilah kita berdoa supaya ia tidak sampai ke tahap itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 7:03 PM