ORANG awam di Surabaya menjalani saringan COVID-19. FOTO AFP
ORANG awam di Surabaya menjalani saringan COVID-19. FOTO AFP
Agensi

Surabaya: Terkejut dengan kematian tiga beranak akibat Covid-19, penduduk perumahan Gubeng Kertajaya di Surabaya, Jawa Timur, memilih untuk menjalani kuarantin bagi mengasingkan diri mereka.

Langkah itu diambil bagi mengelak penularan wabak itu sementara mereka menunggu keputusan saringan.

Portal Kompas melaporkan peraturan kesihatan untuk pencegahan Covid-19 diperketatkan untuk setiap pengunjung yang ingin memasuki kawasan perumahan berkenaan.

Ia termasuk saringan termasuk pemeriksaan suhu bagi mengesan individu yang mempunyai gejala virus berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan tiga beranak meninggal dunia akibat virus berkenaan di Rumah Sakit Islam Jemursari Surabaya.

Kelmarin, Jakarta Post melaporkan Surabaya diletakkan sebagai 'zon hitam' selepas mencatatkan lebih 3,000 kes jangkitan Covid-19.

Ketua unit kerja Covid-19, Joni Wahyuhadi berkata, wilayah yang mencatatkan kes jangkitan tinggi akan ditanda dengan warna merah, namun bertukar lebih gelap sekiranya lebih banyak kes baharu dicatatkan.

"Jika wilayah itu merekodkan banyak kes baharu, ia akan menjadi lebih gelap dan seterusnya bertukar hitam dalam peta," katanya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa giat menjalankan ujian saringan di kawasan zon merah antaranya di Kecamatan Semampir, Surabaya Utara.

Ujian saringan juga dijalankan di Terminal Religi Sunan Ampel di wilayah Kecamatan Semampir.

Kawasan itu diklasifikasikan sebagai zon merah kerana merekodkan bilangan kes tertinggi di Surabaya.

Penduduk yang positif Covid-19 kemudiannya akan ditempatkan ditempatkan di hotel di bandar ini.

Setakat semalam, Indonesia mencatatkan 29,521 jangkitan Covid-19 dengan 1,770 pesakit meninggal duniaakibat wabak berkenaan.

Seramai 18,308 pesakit masih dirawat manakala 9,443 dilaporkan sembuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 7:10 AM