DIANA Angola bersama anaknya. FOTO AFP
DIANA Angola bersama anaknya. FOTO AFP
AFP

COLOMBIA: Diana Angola, 36, melahirkan anaknya, Jefferson dalam keadaan dirinya dikomakan kerana dijangkiti wabak Covid-19.

Doktor terpaksa melakukan pembedahan caesarean berikutan keadaan paru-parunya teruk dan Jefferson dilahirkan 14 minggu sebelum waktunya.

Diana yang mempunyai seorang anak perempuan dibawa ke hospital pada 15 Mei dengan keadaan demam panas yang teruk.

Tiga hari kemudian dia terpaksa dikomakan dan dibiarkan dalam keadaan demikian sehingga tiba hari pembedahan.

Oleh kerana mengandung, dia diletakkan dalam keadaan duduk 45 darjah berbanding pesakit lain yang dibaringkan secara rata bagi membantu pernafasan mereka.

Jefferson walaupun seorang bayi pramatang dilahirkan tanpa Covid-19 bagaimanapun dia mengalami kesukaran bernafas dan hampir meninggal dunia.

Kini Diana sudah sembuh dari wabak itu dan hingga kini tidak tahu bagaimana dia mendapat jangkitan itu serta mendakwa patuh dengan perintah berkurung yang dilaksanakan sejak 25 Mac lalu.

Dengan Amerika Latin yang kini menjadi pusat wabak Covid-19, Angela kakak kepada Diana meminta orang ramai mengambil iktibar dengan kejadian menimpa adiknya itu.

"Ramai orang pergi ke sana sini tanpa pelitup muka malah pergi ke pesta.

"Mereka tidak mengenali orang yang dijangkiti Covid-19 jadi mereka tidak tahu betapa bahayanya penyakit ini," katanya

Dengan lebih daripada 2,600 kematian dan 80,000 kes, Colombia adalah negara keenam paling terjejas di Amerika Latin dari segi kematian dan kelima terburuk kerana jangkitan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 12:15 PM