DONALD Trump. FOTO AFP
DONALD Trump. FOTO AFP
Agensi

Tehran: Iran meminta bantuan Interpol mengeluarkan waran tangkap untuk menahan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan puluhan individu lain yang terbabit dalam pembunuhan seorang jeneral tertingginya di Baghdad, awal tahun ini.

Pendakwa raya Tehran, Ali Alqasimehr berkata pada Isnin, Trump bersama lebih 30 rakyat Iran lain didakwa terbabit dalam serangan dron pada 3 Januari lalu yang membunuh Jeneral Qasem Soleimani.

Al Jazeera yang memetik agensi berita ISNA melaporkan, mereka berdepan tuduhan pembunuhan dan keganasan.

Alqasimehr berkata, Iran meminta Interpol mengeluarkan notis merah bagi menjejaki dan menahan mereka dikehendaki itu.

Bagaimanapun permohonan Iran ditolak selepas Interpol yang berpangkalan di Lyon, Perancis dalam kenyataan menjelaskan, perlembagaan mereka melarang campur tangan berunsurkan politik, ketenteraan, keagamaan dan perkauman.

"Jika ada permintaan seperti itu dibuat kepada Sekretariat Umum.... Interpol tidak akan mempertimbangkannya," katanya.

Sementara itu, wakil khas AS di Iran, Brian Hook menyifatkan permintaan berkenaan sebagai propaganda.

"Penilaian kami bahawa Interpol tidak campur tangan dan mengeluarkan notis merah itu kerana ia berunsurkan politik semata-mata," katanya dalam sidang media di Arab Saudi.

AS bertanggungjawab merancang pembunuhan pemimpin Pengawal Revolusi, Pasukan Quds itu dan yang lain dalam serangan dron berhampiran Lapangan Antarabangsa Baghdad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 2:47 PM