AFP

BEIJING: Sekurang-kurangnya 21 orang maut selepas bas yang membawa pelajar dalam perjalanan menduduki peperiksaan untuk memasuki kolej terjunam ke dalam tasik.

Bas berkenaan melanggar penghadang jalan dan terjunam ke Tasik Hongshan di wilayah Guizhou, mengakibatkan 15 yang lain cedera, kata bahagian pengurusan kecemasan dalam kenyataan hari ini.

Insiden berkenaan berlaku tengah hari tadi di bandar Anshun dan menurut kenyataan saksi, ia turut membawa pelajar yang mahu menduduki peperiksaan 'gaokao', lapor saluran CCTV.

Rakaman kamera keselamatan yang dikongsi di media sosial oleh CCTV menunjukkan bas itu hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan sebelum terjunam ke dalam tasik.

Imej dari tempat kejadian menunjukkan pasukan mencari dan menyelamat berdiri di tepi tasik dan bas yang terjunam itu ditarik keluar dari tasik beberapa jam selepas kemalangan berlaku.

Semua yang cedera dalam nahas itu dirawat di hospital.

Pihak berkuasa tempatan berjanji akan menyiasat punca kemalangan.

Jabatan pengurusan kecemasan Guizhou mengatakan lebih 200 orang membantu usaha menyelamat, termasuk 55 penyelam profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 8:52 PM