X
PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong tiba di pejabat parti ketika pengiraan undi yang berlangsung awal pagi, hari ini. FOTO AFP.
PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong tiba di pejabat parti ketika pengiraan undi yang berlangsung awal pagi, hari ini. FOTO AFP.
Agensi

Singapura: Keputusan Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) memberi mandat jelas kepada pemerintah, dan mencerminkan sokongan yang meluas bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP), kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Pasa masa sama, keputusan itu juga menunjukkan keperitan dan ketidakpastian yang dirasakan rakyat Singapura dalam krisis Covid-19.

"Ia juga mencerminkan keinginan yang jelas bagi kerencaman suara di Parlimen," kata Lee dalam bahasa Melayu seperti dilapor Berita Harian Singapura.

Lee yang juga Setiausaha Agung PAP berkata demikian dalam sidang media secara telesidang, kira-kira 4 pagi hari ini selepas keputusan GE2020 diumumkan.

Secara keseluruhannya, PAP yang memerintah selama enam dekad menang 83 daripada 93 kerusi parlimen dan meraih 61.24 peratus undi popular, merosot daripada 69.9 peratus dalam Pilihan Raya Umum pada 2015.

Parti Pekerja (WP) pula memenangi 10 kerusi, bertambah daripada enam kerusi pada pilihan raya sebelumnya.

Lee mengucapkan mengucapkan tahniah kepada WP atas prestasi mereka, namun meluahkan kekecewaan selepas PAP kehilangan kerusi GRC Sengkang, serta pasukannya termasuk Menteri di Pejabat Perdana Menteri Ng Chee Meng dan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan) Dr Lam Pin Min.

"Saya dan pasukan saya akan berkhidmat kepada semua rakyat Singapura, tidak kira parti mana yang mereka undi.

"Biarpun anda tidak mengundi PAP, kami akan terus mendengar pandangan anda, berusaha untuk memenuhi keprihatinan anda, dan cuba lagi untuk memenangi sokongan anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 8:47 AM