X
HAGIA SOPHIA
HAGIA SOPHIA
AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) 'kecewa' dengan keputusan Turki untuk mengubah monumen era Byzantine, Hagia Sophia kepada masjid dan menuntut akses sama rata kepada semua pelawat.

"Kami kecewa dengan keputusan kerajaan Turki yang mengubah status Hagia Sophia," kata jurucakap AS, Morgan Ortagus.

"Kami sedia maklum bahawa kerajaan Turki komited mengekalkan akses ke Hagia Sophia untuk semua pelawat dan berharap dapat mendengar rancangan bagi pengawasan Hagia Sophia yang berterusan untuk memastikan ia dapat diakses tanpa halangan," katanya.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan Hagia Sophia, satu daripada keajaiban seni bina dunia, akan dibuka semula kepada umat Islam sebagai masjid.

Bagaimanapun, pengisytiharan itu yang dibuat selepas Mahkamah Tinggi Turki menarik balik status monumen itu sebagai muzium, menimbulkan kemarahan masyarakat Kristian dan negara jiran, Greece.

Hagia Sophia dibina pada zaman empayar Byzantine sebagai Katedral Kristian, sebelum ditukar kepada masjid selepas penaklukan Uthmaniah pada 1453 serta muzium pada 1934.

Calon presiden AS dari parti demokratik, Joe Biden turut kesal dengan keputusan dibuat Turki.

Biden meminta Erdogan untuk mengubah keputusan berkenaan dan mahu Hagia Sophia dikekalkan sebagai muzium, bagi memastikan akses kepada semua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 2:20 PM