GAMBAR hiasan (Arkib NSTP). FOTO Farizul Hafiz Awang
GAMBAR hiasan (Arkib NSTP). FOTO Farizul Hafiz Awang
Agensi

AMSTERDAM: Kerajaan Belanda memfailkan tuntutan di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR), semalam, untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Rusia berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014.

"Kerajaan Belanda mengambil tindakan undang-undang terhadap Rusia ke ECHR. Tuntutan itu diajukan berhubung nahas MH17 di timur Ukraine pada 17 Julai 2014," kata jurucakap mahkamah itu, semalam, lapor Eturbonews.

Mahkamah menjelaskan, kerajaan Belanda mendakwa pesawat itu ditembak jatuh dengan menggunakan peluru berpandu anti pesawat BUK yang dipercayai milik Rusia.

"Persekutuan Rusia berulang kali menafikan pembabitan mereka dalam tragedi pesawat itu," kata jurucakap mahkamah itu lagi.

Sebelum itu, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zarkharova berkata, keputusan Belanda membuat tuntutan berkenaan di ECHR adalah satu tamparan bagi hubungan diplomatik Rusia-Belanda apabila mereka menyalahkan Rusia secara sepihak terhadap insiden itu sejak awal lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 2:22 PM