PESERTA demonstrasi berkumpul berhampiran kediaman rasmi Netanyahu di Jurusalem. FOTO AFP
PESERTA demonstrasi berkumpul berhampiran kediaman rasmi Netanyahu di Jurusalem. FOTO AFP
AFP

Jerusalem: Ribuan penduduk di seluruh Israel malam tadi menyertai tunjuk perasaan menuntut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu meletakkan jawatan atas dakwaan rasuah dan menyebabkan peningkatan kes Covid-19.

Peserta tunjuk perasaan turut melakukan demonstrasi berkenaan di kediaman peribadi Netanyahu di bandar utara Caesarea di mana orang ramai memegang sepanduk yang menuduh Netanyahu gagal dan mendesak pengunduran dirinya.

Tunjuk perasaan itu juga dilakukan di beberapa persimpangan dan jambatan namun acara tunjuk perasaan utama dibuat di luar kediaman rasmi pemimpin itu di Jerusalem.

Penganjur berkata, ribuan orang menuntut supaya Netanyahu berundur.

Media melaporkan di Tel Aviv, ratusan penduduk melakukan protes terhadap peningkatan pengangguran dan dakwaan bahawa kerajaan gagal menyokong usaha rakyat yang terpaksa bekerja sendiri ekoran kehilangan mata pencarian akibat wabak itu.

Dengan memakai pelitup muka untuk mencegah jangkitan Covid-19, penunjuk perasaan menuduh Netanyahu yang sedang berdepan perbicaraan di mahkamah daerah Jerusalem terhadap tuduhan rasuah dan gagal menyelesaikan krisis Covid-19 dan kemelut ekonomi yang berlaku.

Sebelum ini, Israel mendapat pujian atas tindak balas awalnya terhadap penularan Covid-19, namun kerajaan berdepan kritikan di saat lonjakan semula Covid-19 selepas sekatan ditarik balik akhir April lalu.

Untuk rekod, Israel yang didiami sembilan juta orang sehingga kini merekodkan lebih 72,000 kes positif termasuk 523 kematian.

Selepas tunjuk perasaan berlarutan sejak beberapa minggu lalu, malam tadi, Netanyahu menuduh saluran televisyen swasta 12 dan 13 menyampaikan propaganda untuk demonstrasi anarki bersayap kiri.

"Mereka terdesak meracuni fikiran orang awam untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang kuat dari sayap kanan," menurut parti diwakili Netanyahu, Likud dalam ciapannya melalui hantaran yang diciap semula oleh perdana menteri itu di Twitter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 11:11 AM