ANTARA mangsa yang cedera di dalam kejadian letupan berkenaan. FOTO AFP
ANTARA mangsa yang cedera di dalam kejadian letupan berkenaan. FOTO AFP
AFP

Beirut: Pemimpin dunia mengucapkan takziah atas kejadian letupan di sini, yang setakat ini mengorbankan 73 nyawa dan mencederakan lebih 3,700 orang.

Perdana Menteri Hassan Diab juga menggesa negara yang mempunyai hubungan baik dengan Lubnan untuk menghulurkan bantuan.

Ia memandangkan insiden berlaku ketika penularan pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres merakamkan ucapan takziah atas letupan yang dipercayai turut mencederakan petugas badan dunia di negara berkenaan.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyifatkan kejadian sebagai serangan mengerikan dan mendakwa ia berkemungkinan berpunca daripada bom.

Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menerusi Twitter pula berkata, pihaknya memantau insiden berkenaan dan akan membantu rakyat Lubnan untuk pulih daripada tragedi berkenaan.

Pemerintah Qatar Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani pula berharap mangsa yang cedera supaya cepat sembuh.

Naib Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum pula merakamkan takziah kepada penduduk Lubnan.

Pada masa sama Kuwait bersedia untuk menghantar bantuan perubatan.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang (waktu tempatan) semalam, letupan dipercayai berlaku di pelabuhan bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan di kawasan itu.

Setakat ini, kenyataan rasmi negara itu tidak menyifatkan letupan berkenaan sebagai serangan.

Menurut Diab, ia berpunca daripada baja pertanian ammonium nitrat seberat 2,750 tan yang disimpan di gudang di pelabuhan berkenaan.

Impaknya menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan lain yang terletak beberapa kilometer dari lokasi letupan itu.

Beberapa bangunan di sekitarnya termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri turut musnah serta mengalami kerosakan teruk.

Letupan kedua menyebabkan bola api ke udara yang turut menggegarkan bandar, menyebabkan pecahan tingkap tersebar ke beberapa kilometer.

Malah, letupan berkenaan boleh dirasai sehingga ke Cyprus yang terletak kira-kira 200 kilometer dari lokasi kejadian.

Pihak berkuasa menjangkakan angka korban akan meningkat.

Berita berkaitan:

  • 73 maut dalam letupan di pelabuhan Lubnan
  • Letupan Lubnan, 'serangan mengerikan' - Trump
  • Lubnan akan cari dalang letupan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 10:45 AM