X
AFP

Washington: Ammonium nitrat yang didakwa menjadi punca letupan di Beirut lazimnya digunakan sebagai baja.

Bahan tidak berbau itu juga sudah menjadi penyebab kepada banyak kejadian letupan dalam tempoh beberapa dekad lalu.

Ia dikatakan menjadi punca letupan 'disengajakan' di kilang baja di Texas pada 2013 yang mengorbankan 15 nyawa.

Bahan sama dipercayai menjadi punca insiden letupan di sebuah kilang kimia di Toulouse, Perancis pada 2001.

Bagaimanapun, kejadian berkenaan disebabkan oleh kemalangan.

Apabila bercampur dengan bahan api, ammonium nitrat mampu menghasilkan letupan yang lazimnya digunakan dalam industri pembinaan.

Bagaimanapun, ia turut digunakan secara meluas oleh kumpulan militan seperti Taliban

Bahan letupan sama digunakan dalam insiden letupan bom di Oklahoma City, pada 1995.

Dalam pada itu, setakat ini, kenyataan rasmi Lubnan tidak menyifatkan letupan berkenaan sebagai serangan.

Menurut Perdana Menteri Hassan Diab, ia berpunca daripada ammonium nitrat seberat 2,750 tan yang disimpan di gudang di pelabuhan berkenaan.

Sementara itu, profesor kimia di University of Rhode Island memberitahu AFP adalah sukar untuk meletupkan ammonium nitrat.

Katanya, jika ia disimpan seperti persekitaran biasa dan tidak terdedah kepada suhu yang tinggi.

"Jika anda melihat video (letupan Beirut), anda akan melihat asap hitam, anda akan melihat asap merah, itu adalah tindak balas (kimia) yang tidak lengkap," katanya.

"Saya fikir ada letupan kecil yang menyebabkan tindak balas terhadap ammonium nitrat itu. Sama ada letupan kecil adalah disengajakan atau tidak, itu saya tidak ketahui," katanya.

Sementara itu, beberapa negara sudah mengetatkan peraturan berhubung kaedah penyimpanan ammonium nitrat.

Sebagai contoh, ia perlu disimpan jauh daripada bahan bakar dan tidak terdedah kepada suhu tinggi.

Banyak negara di Kesatuan Eropah pula mensyaratkan kalsium karbonat dicampur dengan ammonium nitrat, supaya ia lebih selamat.

Selepas insiden serangan bom di Oklahoma, AS juga sudah mengetatkan undang-undangnya termasuk memastikan pemeriksaan di premis yang menyimpan 900 kilogram bahan berkenaan.

Bagaimanapun, penggunaan bahan kimia itu dibenarkan untuk digunakan sebagai baja pertanian dan industri pembinaan.

Setakat ini, letupan itu sudah mengorbankan 73 orang dan mencederakan lebih 3,700 orang.

GAMBAR pada 11 Ogos menunjukkan kemusnahan di pelabuhan di Beirut. FOTO AFP
GAMBAR pada 11 Ogos menunjukkan kemusnahan di pelabuhan di Beirut. FOTO AFP

Berita berkaitan:

  • 73 maut dalam letupan di pelabuhan Lubnan
  • Letupan Lubnan, 'serangan mengerikan' - Trump
  • Lubnan akan cari dalang letupan
  • Letupan Lubnan: Pemimpin dunia rakam takziah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 11:26 AM