KEADAAN di sekitar Beirut selepas insiden letupan. FOTO AFP
KEADAAN di sekitar Beirut selepas insiden letupan. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Dua warga Thailand cedera terkena serpihan kaca dalam letupan kuat di ibu negara Lubnan, Beirut, lapor Agensi Berita Thailand (TNA), memetik jurucakap Kementerian Tenaga Kerja Thailand.

Timbalan Setiausaha Tetap Buruh, Theanrat Nawamawat, yang juga jurucakap kementerian itu berkata, Menteri Penasihat (Hal Ehwal Buruh) kedutaan Thailand di Arab Saudi memaklumkan bahawa dua rakyat Thailand tercedera dalam letupan yang menggegarkan Beirut pada Selasa.

Mangsa pertama dikenali sebagai Weerayut Boonrak, seorang tukang masak di restoran Jepun. Kecederaannya disebabkan terkena serpihan kaca dan kepalanya terhantuk ke siling.

Seorang lagi mangsa adalah Thanathat Thanyodsak, seorang juruteknik barangan kemas, yang cedera di tangan selain kecederaan di telinga. Kedua-dua mereka dirawat sebagai pesakit luar.

Terdapat 170 warga Thailand, menetap dan bekerja di Lubnan. Sebilangan besar daripada mereka adalah pekerja permata dan berlian, ahli terapi urut dan tukang masak.

Pihak berkuasa Lubnan menggesa orang ramai yang berada di kawasan letupan memakai pelitup muka dan sarung tangan kerana terdapat laporan mengenai gas beracun akibat letupan itu.

Kedutaan Thailand di Riyadh memantau rapat situasi dan bersedia membantu warga Thailand di Lubnan, tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 8:28 PM