GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Washington: Seorang lelaki berusia 47 tahun menyedari dia berasa mabuk sepanjang hari selepas mengambil antibiotik walaupun tidak meminum minuman beralkohol.

Insider.com melaporkan keadaan pelik itu dikenali sebagai sindrom 'bir automatik' yang menyebabkan tubuh menghasilkan alkohol di dalam usus seseorang.

Doktor juga merawat sindrom itu menerusi diet karbohidrat dan rawatan anti-kulat yang kebiasaannya berkesan untuk mengatasi masalah berkenaan.

Bagaimanapun, rawatan yang diberikan itu tidak berkesan dan pesakit masih bagi mengalami sindrom berkenaan.

Malah, masalah berkenaan menyebabkan lesen memandunya ditarik balik kerana dia disangka polis memandu dalam keadaan mabuk.

Akhirnya satu kaedah ditemui bagi mengatasi masalah ini dengan menggunakan 'pemindahan najis', demikian menurut kajian jurnal kesihatan, Annals of Internal Medicine.

Menurut kajian yang diterbitkan Selasa lalu, doktor berjaya memindahkan mikrobiota sejenis bakteria yang ada pada najis ke dalam usus kecil pesakit berkenaan.

Berdasarkan kajian itu, sindrom berkenaan berjaya dirawat selepas 34 bulan prosedur itu dijalankan.

Pemindahan bakteria itu diambil daripada najis anak perempuan pesakit yang berusia 22 tahun.

Penyelidik mempunyai teori bahawa pertumbuhan kulat yang berlebihan khususnya jenis ragi 'memakan' karbohidrat yang dimakan individu terbabit sehingga menghasilkan alkohol.

Dalam kes ini, pesakit berasa sangat mabuk disebabkan alkohol yang terhasil daripada sistem pencernaan mereka walaupun tidak minum minuman beralkohol.

Malah dalam satu insiden, kandungan alkohol dalam darahnya meningkat empat kali ganda.

Menurut kajian itu, seseorang yang menjalani pembedahan membabitkan saluran pencernaan atau yang baru saja menjalani rawatan antibiotik berpotensi untuk mengalami masalah ini.

Ini terbukti dalam kes ini apabila lelaki berkenaan menjalani pembedahan pintasan gastrik dan menjalani rawatan antibiotik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 6:31 AM