ANTARA penutup lubang yang dihiasi karektor anime. FOTO Agensi
ANTARA penutup lubang yang dihiasi karektor anime. FOTO Agensi
AFP

Tokyo: Sebuah bandar di Jepun tampil dengan idea menarik apabila memaparkan karakter anime popular pada penutup lubang di jalan utama di bandar itu.

Tokorozawa sebuah bandar berhampiran Tokyo menampilkan kelainan itu bagi menarik perhatian pelancong.

"Ini adalah penutup lubang pertama di Jepun yang diinsipirasikan daripada watak anime," kata pegawai bandar Junichi Koike kepada AFP.

Jepun bukan asing dengan hiasan pada penutup lubang dengan ada antaranya yang menampilkan ukiran dan dicat dengan imej maskot bandar.

Bandar-bandar utama di negara berkenaan sudah menggunakan kaedah berkenaan sejak lebih empat dekad lalu dengan harapan untuk memperbaiki sistem pembetungan.

Tarikan menerusi karakter anime menarik peminatnya sehingga mereka bertukar maklumat menerusi media sosial mengenai watak kegemaran mereka dengan tanda pagar #manhotalk.

"Kami berharap dengan adanya tarikan terbaharu ini boleh menangkis stigma penutup lubang sesuatu yang kotor.

"Pada masa sama, ia mampu menghidupkan semula ekonomi tempatan dengan kunjungan lebih ramai pelancong," kata Koike.

Secara keseluruhan, sebanyak 28 penutup lubang yang dihias watak anime dipasang di sekitar bandar Tokorozawa sejak 1 Ogos lalu.

Antaranya, robot Gundam selain watak animasi sains fiksyen seperti Neon Genesis Evangelion dan siri televisyen The Melancholy of Haruhi Suzumiya.

Penutup lubang itu akan mula 'bercahaya' antara jam 6 petang hingga 2 pagi menggunakan tenaga solar.

Ini adalah sebahagian daripada projek yang membolehkan pihak kerajaan mengutip keuntungan daripada syarikat swasta yang menggunakan penutup lubang itu sebagai platform pengiklanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 6:15 AM