TAPAK kaki yang ditemui di tasik berkenaan.
TAPAK kaki yang ditemui di tasik berkenaan.

AFP

Washington: Kira-kira 120,000 tahun lalu, sekumpulan manusia berhenti untuk minum air di sebuah tasik cetek di kawasan yang kini dikenali sebagai utara Arab Saudi.

Kumpulan itu dikatakan berhenti seketika di lokasi itu sebelum meneruskan perjalanan jauh ke tempat lain.

Tasik berkenaan juga menjadi sumber air untuk pelbagai haiwan termasuk unta, kerbau dan gajah, namun saiznya berkali ganda daripada yang dilihat pada hari ini.

Malah, kumpulan manusia berkenaan dikatakan turut memburu haiwan berkenaan.

Ia berdasarkan rekonstruksi dilakukan saintis susulan penemuan tapak kaki manusia dan haiwan zaman silam di Gurun Nefud.

Menurut kajian yang diterbitkan menerusi jurnal Science Advances pada Rabu, penemuan tapak kaki berkenaan adalah petunjuk kepada laluan generasi terdahulu sebelum ke Afrika.

Penyelidik mendakwa bahawa Semenanjung Arab pada masa itu adalah dipenuhi dengan hutan hijau.

Situasi pada masa itu dengan variasi iklim cuaca lebih lembap dikatakan amat berbeza dengan Semenanjung Arab pada hari ini yang dipenuhi gurun pasir.

"Ada satu ketika, gurun yang mendominasi Semenanjung Arab adalah kawasan hijau yang luas dengan tasik air tawar dan sungai," kata penulis bersama Richard Clark-Wilson dari Royal Holloway, United Kingdom.

Pengarang bersama jurnal itu, Mathew Stewart dari Institut Max Planck untuk Kimia Ekologi, Jerman memberitahu AFP bahawa tapak kaki ditemui ketika lawatan lapangan bagi kajian Ijazah Doktor Falsafah pada 2017.

Ia dikesan menerusi hakisan pada mendapan di sebuah tasik dikenali dalam Bahasa Arab sebagai 'Alathar' yang bermaksud jejak.

Secara keseluruhan, tujuh daripada 100 kesan tapak kaki dan penyelidik merumuskan bahawa ia milik dua atau tiga orang yang mengembara bersama-sama.

Selain itu, 233 fosil ditemui dan haiwan karnivor dikatakan tertarik dengan kehadiran banyak haiwan herbivor di Alathar, sama seperti yang dilihat di padang rumput di Afrika, pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 11:36 AM