DENIS kelihatan seperti remaja belasan tahun. FOTO Agensi
DENIS kelihatan seperti remaja belasan tahun. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Bertubuh kecil dengan wajah seperti remaja, namun siapa sangka sebenarnya lelaki ini berusia 33 tahun.

Berdasarkan sijil kelahirannya, Denis Vashurin dilahirkan pada 1987 tetapi sekali pandang kelihatan seperti masih remaja.

Denis menjadi topik panas di media sosial Russia ketika ini selepas melakukan temu bual di YouTube popular Vasya na sene.

Ramai orang tidak mempercayai usianya 33 tahun dan Denis sendiri mengakui setiap kali dia memberitahu usianya pastinya orang ramai akan 'ternganga'.

Disebabkan itu dia lebih suka tinggal di sebuah perkampungan kecil di wilayah Krasnoyarsk, Russia daripada berpindah ke bandar.

Di sana, semua orang mengenalinya dan menghabiskan masa bersendirian melakukan aktiviti disukainya seperti memburu, memancing dan menghabiskan masa dengan teman wanitanya.

Dalam wawancara dengan Vasya, Denis mendedahkan ibu bapanya menyedari dia tidak seperti kanak-kanak lain sejak kecil.

Dia selalu menjadi yang terkecil dalam kumpulan usianya tetapi itu sebenarnya tidak mengganggunya dirinya.

Denis akui dia seorang yang aktif dan dapat melakukan semua perkara dengan kanak-kanak seusianya serta tidak pernah dibuli.

Bagaimanapun, ketika usianya menginjak dewasa, dapat dilihat perbezaan dengan mereka sebayanya.

Gambar bersama rakan sekolah menengahnya menunjukkan dia kelihatan seperti kanak-kanak dalam kalangan orang dewasa.

"Menyedari saya tidak berubah secara fizikal, pada mulanya saya merasa agak tidak selesa.

"Saya memikirkan bagaimana semuanya terjadi dan adakah hidup saya akan berlanjutan seperti ini," katanya.

DENIS bersama rakannya. FOTO Agensi
DENIS bersama rakannya. FOTO Agensi

Walaupun dia berjaya menjalani kehidupan normal, dia perlu mengakui terlampau penat apabila harus menjelaskan dan membuktikan usia sebenarnya.

Dia pernah ditahan polis trafik dan disyaki memalsukan lesen memandu.

Walaupun menyedari penampilannya nampak remaja dan mungkin mengejutkan orang, dia hanya meminta supaya tidak dinilai berdasarkan penampilannya saja.

Denis akui pernah berjumpa doktor mengenai keadaannya, tetapi kesnya mengingatkan mereka terhadap Tomasz Nadolski, lelaki berusia 27 tahun 'terperangkap' dalam badan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 3:08 PM