AKSI Millie ketika melakukan terjunan dari udara. FOTO Facebook Howard County Executive Calvin Ball
AKSI Millie ketika melakukan terjunan dari udara. FOTO Facebook Howard County Executive Calvin Ball
Agensi

Washington: Impian seorang wanita dari Maryland, Amerika Syarikat (AS) melakukan terjun udara (skydive) akhirnya tercapai selepas usianya lebih seabad.

Lebih manis, Vivian 'Millie' Bailey melakukan terjunan itu sempena ulang tahun kelahirannya ke-102 tahun, baru-baru ini.

Portal ABC7 melaporkan, Millie berkata, dia sangat teruja tetapi benar-benar gementar sebelum melakukan terjunan itu.

"Menakjubkan dan benar-benar mengerikan.

"Takut juga pada mulanya kerana rasa seperti mahu terhempas ke tanah tetapi perasaan itu cuma seketika.

"Lagipun, ada yang terjun bersama saya dan memegang erat saya daripada belakang," katanya.

Millie meluahkan impiannya melakukan terjunan udara ketika diwawancara penerbit rancangan American Heroes Channel's Honor Flight Heroes.

Menurut Millie, dia teringin melakukan aktiviti itu selepas melihat bekas presiden AS, George H W Bush melakukan sukan ekstrem itu ketika lelaki terbabit berusia 90 tahun.

Namun, wanita itu hanya memendam hasrat berkenaan kerana tidak mampu membayar kos tinggi iaitu AS$300 (kira-kira RM1,244).

"Beliau (George H W Bush) memberi inspirasi kepada saya untuk melakukannya, sekali gus membuktikan individu berusia juga boleh membuat terjun udara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 5:59 AM