CACING gelang dikeluarkan dari bahagian mata pesakit. FOTO Newsflash
CACING gelang dikeluarkan dari bahagian mata pesakit. FOTO Newsflash
Agensi

Beijing: Seorang doktor di China berjaya mengeluarkan 20 cacing gelang dari mata seorang lelaki.

Lelaki berusia 60 tahun itu terpaksa dibedah selepas dia berjumpa doktor sebaik menyedari terdapat bendasing di matanya selama beberapa bulan.

Portal The Sun melaporkan, pembedahan itu dilakukan di Hospital Perbandaran Suzhou di wilayah Jiangsu, timur China.

Pesakit dikenali dengan nama Wan itu mengatakan dia merasakan tidak selesa dalam matanya sejak beberapa bulan lalu.

Pada awalnya, dia menyangka masalah itu akibat keletihan dan tidak menganggapnya serius.

Bagaimanapun, lama-kelamaan ketidakselesaan pada matanya semakin teruk dan dia dirujuk ke hospital berkenaan.

Dia dirawat Dr Xi Ting yang kemudian melakukan pemeriksaan menyeluruh.

Wan dibedah dan pasukan perubatan berjaya mengeluarkan 20 cacing gelang daripada matanya.

Cacing jenis ini biasanya memasuki badan melalui kulit atau mulut dan sebaik masuk ke dalam badan, ia boleh bergerak ke organ lain termasuk mata.

Cacing itu bertindak sebagai parasit di satu bahagian mata yang dikenali sebagai conjunctival sab.

Selain itu, ia boleh berada pada saluran air mata anjing, kucing, arnab dan kadang-kadang mata manusia.

Dalam pada itu, pakar mengingatkan pemilik haiwan supaya berhati-hati dengan kebersihan binatang peliharaan kerana parasit itu dapat berpindah kepada manusia.

Dia juga menasihati pesakit yang mengalami gejala seperti penglihatan kabur atau ketidakselesaan untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 7:45 AM